Dakyah Golongan 'Free Thinker' : Kita Tidak Akan Maju Jika Dikongkong Islam?

Assalamualaikum dan selamat sejahtera kepada pembaca blog Hikayat Marhaen Kacak sekalian. Sebagaimana nampak beratnya tajuk entri saya hari ini, terasa berat juga tangan saya hendak aktif menulis kembali. Banyak urusan dan kerja perlu di selesaikan sebelum saya dapat duduk dengan tenang untuk mengemaskini blog yang agak bersawang ini. Alhamdulillah di pagi yang berkat ini dapatlah saya menukilkan satu artikel untuk pembaca-pembaca yang sempat mengunjungi prasasti maya saya ini.

Tuan-tuan dan puan-puan yang dihormati sekalian. Dalam entri terbaru kali ini, sukacitanya saya ingin mengulas serba sedikit perihal yang bersangkut paut dengan ‘Sistem’. Sistem adalah metodologi atau garis panduan bagi setiap individu, organisasi ataupun kumpulan yang lebih besar dalam menguruskan kehidupan seharian mahupun untuk memandu kita dalam mendapatkan kehidupan yang selesa dan ideal. Apabila kita bercakap mengenai sistem, kita lebih cenderung membincangkan tentang sistem atau aturan yang telah ditetapkan oleh orang atasan dan pemimpin, sebagai contoh, kerajaan kepada rakyatnya, ibu-bapa kepada anak-anaknya, mahupun majikan kepada pekerjanya.




Dalam kehidupan seharian, kita selalu berjumpa dengan pelbagai individu yang mempunyai reaksi yang berbeza mengenai sistem yang ‘diprogramkan’ untuk mereka. Ada yang begitu yakin dengan sistem yang digunapakai ke atas mereka sehinggakan menolak metodologi atau falsafah sistem yang lain. Terdapat juga segelintir yang asyik menyalahkan sistem yang digunapakai sehinggakan jiwanya asyik memberontak ingin keluar dari sistem yang ada. Tidak kurang juga ada individu yang asyik menangisi nasib mereka di mana sejak lahir lagi ditakdirkan menjadi seseorang yang lemah, lembik serta menjadi hamba kepada sistem yang sedia ada.

Sindrom ‘Blame It All’


Apabila kita perhatikan kehidupan realiti ataupun di dalam ruang lingkup dunia maya internet ini, ramai di antara kita yang meluahkan rasa tidak berpuas hati dengan segala sistem yang diwujudkan untuk mengatur kehidupan mereka seharian. Bagi golongan tersebut, sistem yang telah diaplikasikan sejak sekian lama ini begitu mengongkong gerak geri mereka serta menjadi punca dalam kesusahan hidup yang mereka alami sejak sekian lama. Mungkin gerombolan-gerombolan ini tidak puas hati kerana :

1. Lambat berkahwin kerana tidak cukup duit simpanan akibat gaji yang terlalu kecil ataupun perbelanjaan seharian yang terlalu besar.
2. Tidak mampu ‘bershoping’ sesuka hati untuk membeli aksesori-aksesori yang pelbagai ataupun berbelanja membeli 7 pasang kasut untuk di pakai berlainan pasang setiap hari.
3. Tinggal di rumah PPRT dan merasa tertekan akibat diganggu oleh jiran sebelah yang asyik berkaraoke sehingga larut malam.
4. Mendapati diri tidak kaya-kaya walaupun harga getah dan kelapa sawit semakin meningkat naik.
5. Asyik di tipu oleh skim cepat kaya ataupun MLM akibat sindrom ingin cepat kaya dan mampun memiliki 5 series seperti rakan-rakan yang ‘berjaya’.
6. Kerap kali gagal dalam berniaga akibat sindrom ‘Persepsi Orang Melayu Tak Support Orang Melayu Meniaga’




Di medium internet, blog, forum dan sebagainya, kita dapat melihat dan membaca luahan perasaan golongan yang begitu lantang menyalahkan ‘sistem’ yang digunapakai sekarang. Bagi mereka semua sistem yang berada disekeliling mereka dangkal sama sekali. Mereka :

1. Menyalahkan majikan kerana tidak mampun mengasingkan wang simpanan untuk berkahwin akibat gaji yang terlalu rendah.
2. Menyalahkan ibu-bapa kerana tidak mampu memberi pinjam duit untuk melangsungkan perkahwinan.
3. Menyalahkan Jabatan Agama Islam Negeri yang asyik membuat operasi tangkap khalwat di hotel-hotel sehinggakan tidak ada ‘port’ yang ‘clear’
4. Menyalahkan bakal ibu bapa mertua yang meletakkan wang hantaran yang terlalu tinggi untuk bakal isteri sehinggakan perlu menyimpan duit bertahun-tahun untuk berkahwin.
5. Menyalahkan kerajaan kerana tidak memberi ‘wang ihsan’ untuk melangsungkan perkahwinan padahal kerajaan mampu menghabiskan wang berjuta-juta dalam PRK Kerdau dan Merlimau.
6. Menyalahkan saudara mara serta rakan taulan kerana enggan menghulurkan bantuan kewangan untuk berkahwin walhal mereka mampu melancong ke Pulau Batam.

Sana salah, sini salah. Bagi golongan ini, semua perkara di dunia ini menyusahkan mereka. Bersama-sama dengan perasaan ‘Inferiority Complex’, Sindrom ‘Blame It All’ ini adalah amat merbahaya sekali jika dibiarkan menular di kalangan komuniti kita terutama masyarakat Melayu dan Islam. Di sini saya faham, terdapat kepincangan yang sangat besar dalam sistem yang digunapakai pada hari ini. Sebelum saya ulas dengan lebih lanjut tentang signifikan entri ini, mari kita terjah pula satu lagi simptom/sindrom yang melanda masyarakat kita iaitu ‘Inferiority Complex’

‘Inferiority Complex’




Dalam masyarakat kita terutama komuniti Melayu Islam, perasaan rendah diri yang teramat sangat (inferiority complex) amatlah sebati dengan jiwa raga. Semenjak kecil lagi kita telah di momokkan dengan keadaan bangsa kita yang amat tidak kompetitif berbannding bangsa lain di Malaysia ini seperti kaum Cina dan India. Pujangga Melayu silam tersohor pernah menyatakan dalam karyanya bahawa orang Melayu tidak mampu membuat sebatang jarum pun. Tidak cukup dengan itu, bangsa Melayu ini di tempelak kerana begitu lemah dan asyik mengharapkan bantuan daripada kerajaan sahaja.

Ramai antara kita yang agak bingung memikirkan bagaimana senarionya bila tiada kaum India dan Cina di Malaysia ini. Bagaimanakah kita ingin membeli peralatan pertukangan? Bagaimanakah kita ingin membaiki kereta yang bermasalah? Bagaimana kita mahu menonton siaran bola di Astro? Bagaimana lah agaknya ekonomi kita jika tiada usaha dari konglomerat berbangsa Cina dan India?

Bolehkah bangsa Melayu ‘survive’ di tanah bertuah ini jika tiada orang Cina dan India? Persoalan yang tipikal ini sering membuatkan generasi baru kita begitu rendah diri dengan kemampuan diri mereka sendiri. Hal ini menjadi lebih parah kerana di dalam sejarah Malaysia, hampir tiada menunjukkan kehebatan dan kemasyhuran Melayu Islam itu sendiri. Kesultanan Melayu Melaka? Nah…..baru digertak sedikit oleh armada Portugis, habis bertempiaran semua hulubalang-hulubalang yang hanya bersenjatakan keris dan tombak!

Golongan yang mengalami sindrom ‘inferiority complex’ ini selalu menangisi nasib mereka. Mereka malu mengaku lahir dalam kelompok ‘Melayu Islam’. Mereka sanggup menerapkan budaya dan cara hidup bangsa lain terutama budaya barat untuk menaikkan prestij diri mereka. Budaya Jahiliyah bangsa barat dianggap agung oleh mereka. Dengan berkiblatkan budaya asing, mereka telah melupakan langsung susur galur dan adat resam budaya mereka turun temurun. Mereka ini menganggap golongan yang berpegang teguh kepada budaya Melayu ini sebagai kolot dan terkebelakang.

Sekali lagi dalam medium blog, forum, komen di internet, golongan ini sering meluahkan rasa ketidak puashatian mereka terhadap semua orang. Sikap ‘inferiority complex’ ini akan berkembang dan menjadi kanser sehinggakan sindrom ‘Blame It All’. Sindrom ini sebenarnya jika dibiarkan amat merbahaya kepada masa depan generasi Melayu Islam kita. Tidak dinafikan pelbagai pihak perlu dipersalahkan dalam kepincangan sistem yang kita amalkan sekarang.Walaupun begitu di dalam entri ini, aku ingin memberi amaran bahawa sikap ‘blame it all’ dan ‘inferiority complex’ ini akan menjahanamkan dan merosakkan minda anak muda kita sendiri lagi-lagi pada zaman capaian media yang tidak terbatas ini (zaman internet).

Berhati-Hati Dengan Golongan Ini!




Seperti mana yang saya nyatakan di atas, kedua-dua sifat dan sindrom ini boleh diibaratkan sebagai kanser kepada masyarakat. Isu yang besar di sini adalah kerana produk yang terhasil dari sifat ‘menyalahkan semua orang’ dan ‘rendah diri yang terlampau’ ini akan membawa satu fahaman baru yang bercanggah dengan norma dan dogma masyarakat Melayu Islam itu sendiri. Apakah produk itu? Begitu bahaya kah golongan ini?

Kepada pembaca-pembaca sekalian, golongan ini memegang teguh prinsip kebebasan, hak asasi, dan konsep ‘Free Thinker’. Ya…tentu anda pernah dengar istilah ‘Free Thinker’ bukan?. Golongan ini lah yang lahir dari perasaan keluh kesah dan marah mereka terhadap ‘sistem’ yang di gunapakai sejak sekian lama. Dalam hal kebebasan dan hak asasi, saya tiada masalah jika mereka menguar-uar kan kebobrokan sistem yang diguna pakai sekarang. Sistem yang saya maksudkan seperti demokrasi, kapitalis, sosialis, liberal dan sebagainya memang tidak mampu untuk menjaga keharmonian hidup manusia sejagat. Jadi di sini, apa masalahnya dengan golongan ‘Free Thinker’ ini?.

Masalah timbul apabila golongan ini mempersoalkan cara hidup Islam yang terbukti syumul. Sememangnya kita sebagai umat Islam beriman dan percaya, jalan penyelesaian kepada segala masalah di atas adalah kembali kepada hidup bersyariat. Hidup bersyariat di sini merangkumi ibadah, perundangan, sosial, ekonomi, politik dan semua aspek-aspek lain. Saya tidak ingin mengulas lanjut tentang sistem Islam yang syumul dalam entri kali ini. Apa yang saya ingin dedahkan ialah sikap golongan ‘Free Thinker’ ini merendah-rendahkan martabat Islam sebagai agama dominan bangsa Melayu itu sendiri!



Golongan ‘Free Thinker’ ini bertindak melulu menyatakan :

‘Umat Melayu Islam tidak akan maju jika terus dalam kepompong islam, Umat Melayu seharusnya perlu membuang perkaitan antara Melayu dan Islam. Melayu tidak akan maju jika terus dibayangi oleh Islam’


Golongan ini juga begitu biadap menyatakan :

‘Islam adalah salah satu penjajahan minda dan fizikal kepada Bangsa Melayu. Orang Melayu di sepatutnya mesti menganut Islam. Sepatutnya kita perlu bebas untuk menganut apa-apa agama pun!’



Apa pendapat pembaca-pembaca sekalian terhadap kenyataan di atas? Untuk pengetahuna tuan-tuan dan puan-puan, golongan ini telah menampakkan kejayaan dalam mempengaruhi minda golongan muda kita. Jika kita menelusuri dari satu blog ke blog, banyak sekali tulisan dan artikel yang bersangkut paut dengan fahaman ‘free thinker’ ini. Kebanyakan dari mereka ini mempunyai pengikut tersendiri kerana segala hujah-hujah dan logik-logik yang diutarakan untuk menegakkan teori mereka kelihatan begitu ‘marhaenism’.

Golongan ‘Free Thinker’ ini mengambil kesempatan terhadap orang yang menghidapi sindrom ‘Blame It All’ dan ‘Inferiority Complex’ ini untuk menjadi rekrut fahaman mereka. Kononnya fahaman mereka seolah-olah selari dengan kehendak dan jiwa memberontak rakyat. Modus operandi golongan ini mudah :

1. Membuat artikel (di dalam blog) yang konon nya simpati dengan nasib rakyat jelata yang sengsara di bawah sistem yang ada
2. Mencampur aduk kan sedikit hal-hal politik kerana resam rakyat Malaysia khususnya suka dengan sepak terajang dan wayang politik.
3. Sedikit-demi sedikit mengumpul peminat dan ‘worshipper’ yang akhirnya akan menjadi pengikut setia artikel-artikel mereka.
4. Fahaman ‘Free Thinker’ sedikit sebanyak di dedahkan bersulamkan fakta-fakta yang agak bernas dan logik



Golongan ini sememangnya amat mudah untuk mempengaruhi jiwa anak muda yang sentiasa tidak berpuas hati dengan semua perkara. Hasil dari idea-idea dan pidato-pidato mereka ini, ada antara anak muda kita semakin menyimpang jauh dari pemahaman Islam itu sendiri. Ada yang malu mengaku Islam dan akhirnya menjadi ‘atheis’ dan tidak beragama. Senario ini cukup menakutkan kerana lama-kelamaan golongan ini akan mempengaruhi anak-anak muda kita yang lain!.

Sekali lagi saya menyeru dan mengingatkan supaya kita berjaga-jaga dengan musuh dalam selimut ini. Mereka ini kebanyakannya dari Bangsa Melayu sendiri. Ya..! Bangsa Melayu yang malu mengaku mereka memiliki genetik ‘Melayu’ dan menggunakan nama ‘Islam’. Selain musuh Islam yang nyata di kalangan golongan yang membenci Islam (Kafir Harbi), kita juga perlu sentiasa beringat tentang golongan yang boleh melemahkan kita dari dalam dengan strategi ‘perang saraf’mereka.

Kepada yang sentiasa mempunyai sindrom-sindrom di atas, kembalilah kepada syariat yang sebenar. Indahnya hidup bersyariat tidak dapat digambarkan jika kita betul-betul kembali ke jalan Islam dalam semua aspek kehidupan. Hal ini sudah tercatat dan terbukti di dalam sirah nabi kita serta riwayat hidup para Khulafa’ Ar-Rasyidin. Sistem Islam itu adalah ‘absolute’ dan dengan mudahnya dapat menggantikan pelbagai sistem korup yang dicipta oleh ‘cendekiawan’ barat



Akhir kata dari saya, yakinlah dengan apa yang diwahyukan oleh Allah S.W.T kepada Nabi Besar S.A.W kita 1400 tahun yang lepas. Dengan metodologi menerapkan cara hidup Islam sahajalah yang dapat membawa kita kepada keredhaan di dunia dan di akhirat. Kepada golongan yang sudah tersasar dari landasan yang benar, tetaplah yakin dan berpegang teguh dengan bawaan Islam itu. Sesungguhnya Islam adalah satu-satunya cara hidup dan jalan yang diredhai Allah.


Setapak, Kuala Lumpur
11 Zulkaedah 1432 Hijrah

10 Komen:

sop said...

jika kita ikut ajaran islam secara keseluruhan, pasti kita akan kembali gemilang

ZARA said...

i like this post. excellent!

Ki YUSWA said...

artikel yang menarik

Eric ysn said...

not exactly.

Seorang Hamba said...

artikel yg menarik,,,yg sye pham,,free thinker nie adalah org yg menyalahkan sistem itu sendiri,,pd pndapat anda, bgaimanakah kalau seorang free thinker ini brpndapat cara islam yg paling benar dan patut diamalkan oleh sistem itu,,dan menyalahkan sistem sekarang,,

Raini Munti said...

masya allah artikel ini memang hebat kawan makasih

Anonymous said...

salah sorg blogger free thinker yg popular: obefiend

Melayu Bukan Islam said...

Melayu bukan semuanya Islam. Non-Muslim Malays are agnostic, practise witchcraft, converted or profess animist, atheist, Buddhist, Catholic, Christian, Hindu, pagan or free thinker. Reference: Google

Melayu Bukan Islam said...

Melayu bukan semuanya Islam. Non-Muslim Malays are agnostic, practise witchcraft, converted or profess animist, atheist, Buddhist, Catholic, Christian, Hindu, pagan or free thinker. Reference: Google

Anonymous said...

The debate regarding right or wrong always popular around. But there is always the truth come reveal later. Nevertheless, human a complete creature compare to others have mind, thoughts, memories, civilization etc, in the end what govern man himself? Al-Haq will reveal, never afraid, history shows prove. It just the matter of time. No need to quarrel. Believe is free, but freedom is NOT free. Wa qul jaa al haq was zahaqal baatil, Inna baatila kaana zahuqa. 17:81. When the truth reveal, the false will gone, for sure false will be gone forever. This is my believe, and I do hear opinion. To believe, its up to you guys.

Post a Comment